MUKADIMAH
Kebelakangan ini, sejak kempen untuk memperkasakan Undang-undang dan Mahkamah Syariah digiatkan, terdapat parti politik Muslim, NGO Islam dan tokoh ilmuwan yang bersikap sinis, malah menentang usaha yang dijalankan. Argumen yang mereka kemukakan hampir sama, antaranya perkara itu bukanlah keutamaan pada masa kini. Mereka mengemukakan pelbagai isu khilaf dan teknikal termasuklah awlawiyyat, maqasid dan seumpamanya. Terdapat juga yang melaungkan slogan ‘Rahmat Kepada Sekelian Alam’, ‘Negara Rahmah’ dan lain-lain untuk membelakangkan kempen ini. Sedikit sebanyak tindakan mereka menjadi perisai bagi golongan penentang.
Sebenarnya sesuatu yang amat menarik, golongan yang menggunakan argumen dan jargon ini boleh jadi tidak menyedari, pemikiran mereka tentang Syariah adalah begitu sempit malah begitu menebal pengaruh sekularnya. Mereka hanya melihat Undang-undang Syariah ini dari kacamata individu pesalah tidak dari skop yang lebih luas iaitu kepentingan sebuah masyarakat dan negara. Lebih dari itu, mereka memisah-misahkan aspek Undang-undang Syariah ini dengan aspek lain seperti pendidikan, ekonomi dan industri, sedang kesemuanya amat berkait rapat. Mereke kemudian mendabik dada, merekalah yang faham Falsafah Tasyri, Keadilan Syariah, Rahmat Islam dan lain-lain.
Artikel ringkas ini, cuba membuka kotak pemikiran golongan ini untuk melihat usaha memperkasakan Undang-undang dan Mahkamah Syariah dari kacamata yang lebih luas, sekaligus menjawab beberapa argumen dan jargon yang mereka kemukakan. Dalam konteks ini, penulis ingin membawa perhatian pembaca kepada isu Industri Dosa atau _Sin Industries_, dan bagaimana Pindaan Akta 355 ini boleh berperanan besar. Dengan melihat satu aspek ini sahaja, kita boleh melihat bahawa Pindaan Akta 355 ini sebenarnya menjadi keutamaan sekarang, boleh mencapai maksud pensyariatan, menuju keadilan dan lain-lain lagi. Secara langsung ia adalah rahmat atau rahmah kepada semua.
KEMUSNAHAN DISEBABKAN INDUSTRI DOSA
Dalam dunia perindustrian hari ini, pemain-pemain industri akan memanipulasikan segala aspek yang berkaitan keperluan dan kehendak manusia, demi keuntungan mereka. Satu perkara yang sedang dimanipulasikan oleh mereka dan banyak mendapat tentangan terutama dari golongan sosialis ialah aspek kebajikan. Bagaimanapun, ramai yang tidak memyedari ada satu aspek lain yang juga sedang dimanipulasikan oleh pemain-pemain industri ini, iaitu aspek keseronokan yang di dalam Islam ia berkait rapat dengan nafsu syahwat. Aspek ini telah dijadikan satu komoditi untuk diperdagangkan sehingga pemain-pemain industri ini untung berlipat ganda, dan ia dikenali sebagai Industri Dosa.
Kemunculan kegiatan perniagaan dosa seperti ini bukan satu perkara baru, tetapi kewujudannya dalam bentuk perindustrian boleh dikatakan masih baru dan sedang berkembang. Industri Dosa ini meliputi industri tobacco (secara tidak langsung berkaitan dadah), alkohol, perjudian, seks dan lain-lain. Di kebanyakan negara sekarang, Industri Dosa ini sudah dilesenkan sehingga rakyat sesebuah negara boleh melanggani produk Industri ini dengan melakukan pembayaran. Kerajaan pula telah menjadikan industri ini sebagai satu sumber pendapatan bagi menjana kekayaan negara, sebagaimana sektor-sektor perindustrian yang lain.
Bagaimanapun kebelakangan ini sudah banyak kajian dijalankan oleh para ilmuwan, tentang kesan industri ini terhadap sesebuah masyarakat, malah yang lebih penting terhadap ekonomi sesebuah negara. Para ahli ekonomi mulai menyedari bahawa kesan keburukan yang ditimbulkan oleh industri ini seperti peningkatan kadar jenayah, kemusnahan struktur sosial, penyebaran wabak penyakit, korupsi dan lain-lain lagi, lebih buruk dan membebankan daripada manfaat ekonomi yang diperolehi. Disebabkan negara-negara itu telah terjerumus jauh dengan industri ini, usaha untuk berpusing balik sangat sukar. Apa yang boleh dibuat, hanyalah mengurangkan kesan negatifnya daripada menjadi kian teruk.
Jaringan Industri Dosa ini di peringkat global akan menimbulkan lebih kebimbangan bagi mereka yang menelaahnya. Kegiatan-kegiatan yang terlibat dalam Industri Dosa ini saling berkait rapat dan sokong menyokong antara satu sama lain. Dengan pengertian lain, tobacco, alkohol, seks dan dadah mempunyai perkaitan rapat antara satu sama lain, sehingga bila jaringan global industri ini terbentuk, ia menjadi satu ancaman keselamatan yang besar. Daripada Industri Dosa ini mempunyai lesen, ia boleh menyebabkan kepada berlakunya kegiatan buruk lebih besar seperti Pemerdagangan Manusia (Human Trafficking) dan Perdagangan Dadah (Drug Trafficking).
Kedua-dua Pemerdagangan Manusia dan Perdagangan Dadah akan membawa pula kepada Pasaran Gelap Senjata Api (Fire Arm Black Market) yang akan menyebabkan bukan sahaja meningkatkan kadar jenayah, malah di sesetengah negara seperti di Amerika Tengah, ia turut mengancam kedaulatan negara. Sejarah Perdagangan Candu semasa era penjajahan di beberapa Wilayah China menjadi petunjuk tentang kesan akhir industri ini yang boleh berulang semula. Oleh sebab itu, sebelum Industri Dosa ini berakar umbi sehingga menjadi lebih parah, langkah-langkah untuk mencegahnya perlu diambil, bukan menggalakkannya yang akhirnya akan membina jaringan sehingga ke peringkat global.
INDUSTRI DOSA DI MALAYSIA
Bagi mereka yang mengikuti perkembangan Industri Dosa di Malaysia, ia sebenarnya telah sampai ke tahap yang sangat membimbangkan. Terdapat kegiatan-kegiatan industri ini yang berlesen dan terdapat pula yang tidak berlesen. Disebabkan majoriti (sekitar 62%) rakyat negara ini adalah Muslim, sudah tentu mereka menjadi antara sasaran utama pemasaran. Malah tidak keterlaluan dikatakan, memang masyarakat Muslim lah antara yang ramai terlibat menjadi pelanggan industri ini. Beberapa kawasan di bandar-bandar utama telah menjadi terkenal dengan industri ini, sama ada berlesen atau tidak berlesen. Kawasan-kawasan gelap ini turut terkenal sebagai sarang penjenayah.
Tidak dapat dinafikan Industri Dosa di negara ini terutama yang tidak berlesen seperti kegiatan seks dan perjudian, telah membiakkan kegiatan gangsterisme yang sudah mula menular ke sekolah-sekolah untuk menjadi rekrut-rekrut pelapis. Kegiatan gangsterisme ini pula membiakkan perdagangan gelap senjata api di Malaysia. Kumpulan-kumpulan seperti ini diperlukan untuk melindungi kegiatan Industri Dosa termasuk yang melibatkan Pemerdagangan Manusia dan Perdagangan Dadah. Sebagaimana biasa, kewujudan kumpulan ini turut dikaitkan dengan penyeludupan, rasuah, duit perlindungan, dana politik haram dan lain-lain. Jika tidak dicegah ia boleh meruntuhkan negara.
Negara kita akan lebih cepat kemusnahannya jika Industri Dosa ini berjaya mempengaruhi golongan politik, sehinga mereka boleh mewujudkan dasar-dasar tertentu yang melindungi kegiatan industri ini, selain daripada sogokan kepada golongan politik tertentu. Dalam dunia akademik, sudah ada ilmuwan yang memperkenalkan istilah Politik Dosa (The Politics of Sin) untuk menunjukkan barah yang lebih kronik apabila pemain-pemain industri ini berjaya mendominasikan golongan politik. Situasi ini sudah berlaku di beberapa negara sehingga diwujudkan undang-undang untuk memberi lesen kepada kegiatan ini termasuklah penggunaan dadah.
Sekiranya perkembangan Industri Dosa ini tidak dicegah dan pemain-pemain utama industri ini dibiarkan untuk mempengaruhi golongan politik, tidak mustahil Malaysia turut terjebak dengan kemusnahan disebabkan industri ini. Malaysia sudah mula menjadi perhatian dunia apabila masalah Pemerdagangan Manusia telah dibangkitkan oleh pihak-pihak berkuasa negara lain. Masalah penyalahgunaan dadah di Malaysia masih belum ‘menemui cahaya di hujung terowong’. Sekarang ini, kes-kes pembunuhan senjata api sudah semakin menjadi-jadi. Kesemua ini dibiakkan oleh kegiatan-kegiatan tidak bermoral di dalam Industri Dosa yang tidak disedari oleh banyak pihak.
PERANAN AKTA 355 UNTUK MEMBASMI INDUSTRI DOSA
Perkembangan Industri Dosa di Malaysia sememangnya sukar dikawal disebabkan pelbagai faktor, antara yang utama ialah demografi penduduk Malaysia yang majmuk. Kemajmukan ini menyebabkan ada kegiatan-kegiatan tertentu dilesenkan seperti perjudian dan ada kegiatan-kegiatan tertentu ‘dibiarkan bebas’ meskipun tidak berlesen atau lesen disalahguna seperti pelacuran. Kegiatan-kegiatan ini telah mengayakan pemain-pemain industri, contohnya syarikat perjudian berlesen mengaut keuntungan bebilion Ringgit setiap tahun, sementara kaki-kaki judi terus merempat dan keluarga mereka tidak bercukupan dari segi makanan dan tempat tinggal.
Sekiranya tindakan tegas diambil untuk membekukan lesen-lesen Industri Dosa ini, akan timbul bantahan dari pimpinan-pimpinan bukan Islam termasuk ada yang berlatarbelakangkan agama. Jika industri ini dibiarkan pula, ia akan merosakkan ekonomi dan sosial masyarakat termasuk yang turut terkesan ialah kelompok masyarakat Islam sebagai golongan majoriti, sedangkan kegiatan-kegiatan ini haram bagi mereka. Masyarakat Islam digesa menghormati hak masyarakat bukan Islam meskipun kesan buruknya lebih banyak terkena kepada mereka. Oleh sebab itu, apakah penyelesaian kepada dilema ini? Apakah mahu dibiarkan sahaja kerosakan ini berpanjangan?
Salah satu penyelesaian yang sesuai ialah menggunakan kuasa pengguna yang ada pada umat Islam, iaitu umat Islam memboikot atau berhenti dari menggunakan produk-produk Industri Dosa ini. Bagaimanapun, ini tidak semudah yang disangka kerana ia berkaitan dengan nafsu syahwat yang amat sukar dibendung. Industri Dosa ini boleh dibendung antaranya dengan menguatkuasakan penyelesaian Syariah, kerana hampir keseluruhan kegiatan-kegiatan industri ini berkaitan rapat dengan kesalahan Jenayah Syariah. Hukuman Jenayah Syariah yang bersifat mendidik dan mengekang, merupakan satu khabar buruk kepada pemain-pemain Industri Dosa dan ‘Tuan-tuan Politik’ yang melindungi mereka.
Pemerkasaan Undang-undang dan Mahkamah Syariah melalui pindaan Akta 355 ini sememangnya membimbangkan pemain-pemain utama Industri Dosa. Mereka akan kehilangan kelompok pelanggan-pelanggan terbesar iaitu dari kalangan Masyarakat Islam. Sekiranya golongan kaki botol, tahi judi, pelaku maksiat, penzina dan seumpamanya dapat dipupuskan dalam kalangan umat Islam, Industri Dosa ini boleh dibasmi di Malaysia. Kesannya, keluarga umat Islam lebih kukuh, masyarakatnya lebih sihat dan ekonomi ummah lebih berkat. Oleh sebab itu, pindaan Akta 355 ini sememangnya satu keperluan mendesak jika dilihat dalam konteks Industri Dosa yang sedang berkembang biak.
KESIMPULAN
Berdasarkan teropong khusus kepada isu Industri Dosa ini, penulis sebenarnya hairan mengapa parti politik Muslim, NGO Islam dan tokoh ilmuwan memandang sinis dan remeh terhadap usaha besar-besaran umat Islam untuk membasmi Industri Dosa ini? Parti politik Muslim itu perlu sedar, Islam ini adalah rahmat kepada sekelian alam, tetapi bukan rahmat kepada Industri Dosa. NGO Islam juga perlu sedar kita tidak boleh membina Malaysia yang rahmah dengan Industri Dosa. Manakala ilmuwan Islam yang bercakap tentang maqasid dinasihatkan jangan terjebak untuk memperjuangkan maqasid pemain-pemain utama Industri Dosa ini. Ayuh kita bersatu memperkasa dan memartabatkan Syariah.
Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS
5 Mac 2017
6 Jamadilakhir 1438
The post RUU pindaan Akta 355 ke arah pembasmian industri dosa appeared first on Portal Islam dan Melayu.
===========================
PENGUMUMAN: ARTIKEL/BLOG POST INI TELAH DI PUBLISH SECARA AUTOMATIK DARI LAMAN http://ift.tt/2ltCr6u .
Sekiranya anda rasa artikel ini mempunyai unsur LUCAH & SENTIMEN PERKAUMAN atau yang sewaktu dengannya, dan anda merasakan ianya patut di delete/padam dari blog ini. Sila hantarkan aduan/mesej inbox facebook kami iaitu di ADUAN @ http://ift.tt/1YYEtDp
Dikongsikan Semula Oleh : pisangbaik.blogspot.com
Artikel di dalam blog ini hanyalah perkongsian dari pelbagai website dan blog secara tidak bertapis yang hanya bertujuan untuk berkongsi maklumat dengan masyarakat umum. Sekiranya perkongsian artikel yang dipaparkan disalah ertikan, pisangbaik.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab. Terima Kasih
0 comments:
Post a Comment