KEMAMAN - Seorang ibu dan anak bongsunya yang berusia tiga tahun maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka ditembusi besi penghadang lebuh raya dalam kemalangan di Kilometer 264 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Perasing, di sini, petang tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 1.15 petang ketika mangsa empat beranak dalam perjalanan pulang ke Damansara, Selangor selepas pergi bercuti ke Pulau Redang, Setiu.
Peniaga, Fatimah Al Zahrah Zainol Abidin, 32, yang duduk di kerusi penumpang hadapan dan anaknya, Al Fateh Mohd Shahrulnizam, 3, meninggal dunia di lokasi kejadian setelah mengalami kecederaan parah ekoran besi penghadang lebuh raya menembusi bahagian tempat duduk mereka.
Akibat kejadian itu, seorang lagi anak Fatimah, Al Faris Mohd Shahrulnizam, 6, mengalami kecederaan parah manakala suaminya yang memandu, Mohd Shahrulnizam Alias, 32, cuma mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, kemalangan dipercayai belaku selepas kereta Proton Saga BLM yang dinaiki empat sekeluarga itu terbabas ke bahu kiri jalan ketika tiba di lokasi kejadian.
"Kereta itu kemudiannya merempuh besi penghadang jalan menyebabkan dua mangsa meninggal di lokasi kejadian.
"Mayat kedua-dua mangsa dikeluarkan orang awam manakala dua lagi mangsa yang masing-masing parah dan cedera ringan dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan," katanya.
Menurutnya, anak pasangan itu yang berusia enam tahun mengalami patah paha dan kaki kiri.
Mayat Fatimah dan Al Fateh turut di bawa ke hospital sama untuk bedah siasat dan tindakan lanjut.
Kata beliau, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Difahamkan Allahyarham Fatimah empat beranak pergi bercuti ke Pulau Redang bersama keluarga adiknya yang menaiki kenderaan lain dan mereka pulang semula ke Selangor secara berasingan.